Tiga daripada mereka yang merupakan warga tempatan ialah Muhamad Faizal Muhamad Hanafi, 29, dan anaknya, Muhamad Hanafi Yah, 51, yang berasal dari Tumpat, Kelantan serta Nor Farkhan Mohd Isa, 31, dari Skudai, Johor.

Sementara warga Thailand tersebut ialah Awae Wae-Eya, 37, dari Narathiwat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek dipercayai daripada sel yang sama dengan enam anggota Daesh yang telah ditangkap bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Johor pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu kerana merancang melakukan jenayah yang sama.

“Kesemua suspek ini amat berbahaya dan pihak polis sedang berusaha mengesan keempat-empat individu ini yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesemua individu berkenaan boleh berhubung dengan Inspektor Mohd. Badri Othman di talian 017-6727120 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Tambahnya, mana-mana individu yang didapati menyembunyikan sebarang maklumat, bersubahat atau melindungi keempat-empat individu terbabit boleh dituduh di bawah Seksyen 130M, 130K dan 130L Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun hingga 30 tahun.