POKB gesa gubal ‘Lese Mejeste’
Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad 

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, Lese Mejeste merujuk sebuah undang-undang mengenai tutur kata atau tindakan menghina raja yang tidak dilakukan sewenang-wenangnya oleh mana-mana rakyat.

Beliau berkata, ini bagi memastikan orang ramai supaya tidak mengulangi tindakan peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang secara terang menghina institusi diraja.

“Tindakan tegas terhadap peguam itu perlu diambil mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Ini kerana, Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan iaitu kesetiaan kepada raja dan negara merupakan satu prinsip yang menjadi asas kepada kerakyatan kita.

“Tanpa negara dan raja, maka, tiadalah tanah air untuk kita (merujuk peristiwa sebelum Merdeka),” jelasnya.

Beliau mengulas tindakan Fadiah Nadwa yang mencadangkan sistem beraja atau monarki tidak perlu dipertahankan kerana telah lapuk ditelan zaman.

Mengulas lanjut, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, sistem beraja perlu dipertahankan kerana institusi itu yang menjaga Islam.

“Kuasa Islam terletak di bawah institusi Raja-Raja Melayu, oleh itu, sikap memperlekehkan institusi diraja harus ditangani dengan tegas tanpa sebarang kompromi,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE