Wacana yang bakal berlangsung pada 12 April ini di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Kota, Pengkalan Chepa merupakan satu inisiatif memberi penerangan kepada masyarakat tentang isu perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Ketua Ahli Muda POKB, Dr. Muhamad Luqman Hussin berkata, idea menganjurkan program ini tercetus dalam musim negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Perpaduan yang dibina selama ini adalah berasaskan perasaan percaya-mempercayai dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Justeru, nilai itu boleh terjejas sekiranya berlaku hasutan dan provokasi yang kita sendiri lakukan demi menegakkan fahaman politik masing-masing.

“Sekiranya, cabaran yang boleh berlaku itu tidak ditangani segera sudah tentu boleh mendatangkan implikasi besar terhadap keharmonian perpaduan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Pelaksana wacana berkenaan menyasarkan kehadiran seramai 300 peserta yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

“Program ini juga akan dimeriahkan dengan pameran mengenai budaya dan suasana Kota Bharu oleh Kelab Sketch Walk,” ujarnya.

Wacana yang bakal berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 1:30 petang itu dijangka dirasmikan oleh Tengku Kaya Perkasa, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program itu boleh menghubungi urusetia di 09- 7421768 atau layari Facebook ‘Wacana Perpaduan’ bagi sebarang maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE