hits

Isterinya, Nor Aisyah Zakaria, 50, berkata, Poe sebelum itu dimasukkan ke Hospital Tampin selepas diserang angin ahmar dan telah dipindahkan ke PPUKM selepas menerima nasihat daripada doktor.

Jelasnya, Poe yang popular dengan lagu Ala Lala Tuk (Jangan Saman) itu tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit tersebut sebelum penyanyi itu tiba-tiba diserang angin ahmar Sabtu lalu.

“Sebelum ini, Poe telah disahkan menghidapi paru-paru berair dan jantungnya bengkak. Tetapi, dia masih boleh bergerak dan bercakap sehinggalah Sabtu lalu, dia tiba-tiba diserang angin ahmar.

“Sekarang, dia masih boleh bergerak secara perlahan dan duduk namun tidak boleh bercakap. Doktor memaklumkan, otak sebelah kiri dan bahagian depannya yang diserang angin ahmar hingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nor Aisyah memohon agar semua rakyat Malaysia mendoakan kesihatan suaminya supaya dapat kembali aktif dan sembuh seperti sedia kala.

“Poe boleh berjalan secara perlahan-lahan tetapi perlu dibantu dan dipapah. Takut jatuh dan boleh mengakibatkan keadaannya bertambah teruk.

“Dia hanya boleh minum susu, itu pun melalui tiub. Keadaannya agak stabil dan saya mohon agar semua mendoakan kesihatannya,” katanya.