Perdana Menteri berkata, di se­balik pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap Malaysia, sebanyak 2.26 juta pekerjaan berjaya diwujudkan dengan inflasi dan kadar pengangguran berada pada tahap yang rendah.

“Para pelabur tidak akan mela­bur di negara ini dan memindahkan ibu pejabat syarikat mereka jika berfikir Malaysia bakal bankrap.

“Sebagai contoh, Huawei akan menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi global syarikat ber­kenaan malah Broadcom Limited yang merupakan syarikat semikonduktor terbesar dunia juga bakal memindahkan opera­sinya dari Singapura ke negara ini tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Anugerah dan Makan Malam [email protected] anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN-BAC Malaysia) di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Perindustrian Fili­pina, Ramon Lopez dan Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid
 Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Pencapaian ASEAN @ 50 ASEAN-BAC Malaysia kepada 10 syarikat dan individu atas kejayaan mereka dalam bidang perniagaan yang diceburi.

Menurut Najib, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang mesra para pelabur dan usahawan.

“Ini kerana kita tahu apabila pekerjaan dapat diwujudkan, pendapatan rakyat akan dapat ditingkatkan, kemahiran juga akan di­salurkan kepada para pelabur dan semua ini mendatangkan kebaikan kepada negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kepemimpinan negara ini juga tidak berminat untuk membangkitkan isu-isu lampau seperti yang dilakukan oleh seorang pemimpin terdahulu.

Tanpa menyebut nama mana-mana tokoh pemimpin, Perdana Menteri menjelaskan, kepe­mimpinan negara pada masa kini lebih berminat untuk menjalinkan persahabatan dengan semua pihak tanpa mengira sama ada mereka berada jauh atau dekat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan bagi memastikan keamanan serta kestabilan rantau ASEAN dapat dikekalkan.