Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu juga wajar diikuti oleh syarikat lain kerana bukan sahaja dapat mengurangkan bebanan, malah kos yang perlu ditanggung oleh sesebuah organisasi.

Katanya, apa yang dicapai oleh PNB bukan sekadar untuk menjadi agensi pemegang amanah kepada bumiputera, tetapi telah mencapai kejayaan sebagai gergasi korporat.

"Banyak syarikat yang cuba mengikut jejak langkah PNB seperti Permodalan Madani yang terdapat di negara jiran dengan jumlah modal hampir sama tetapi akhirnya 'tutup kedai' kerana ada program lain yang disekalikan.

"Namun, PNB berjaya kerana komitmen yang diperlihatkan bukan sahaja daripada pengurusan moden, tetapi anak-anak syarikatnya cukup profesional tanpa ada apa pun tangan 'kotor'," katanya yang berucap dalam program Moh Ler Kite! bersama Kumpulan PNB di Dewan Hajah Tuminah, Sungai Nipah Darat, Rungkup di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Pengerusi Prolintas, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid

Program bersama Kumpulan PNB yang ditaja oleh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) itu antara lain bertujuan mendekatkan organisasi tersebut dengan masyarakat setempat selain mempromosi Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2016 yang akan berlangsung di Tapah pada 20 hingga 28 April ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada PNB kerana sekali lagi memilih Perak sebagai lokasi MSAM 2016, justeru menyifatkan ia sebagai satu manifestasi penghargaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selain mengundang nostalgia peribadi kepadanya.

Ahmad Zahid yang merupakan sebahagian daripada perintis PNB dengan mula berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pemasaran pada tahun 1 Julai 1977, menyifatkan organisasi itu banyak mendidiknya dalam sektor swasta terutamanya dari segi masa dan pengurusan moden.

Beliau berkata, sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 1970, pegangan ekuiti bumiputera ketika itu hanya 2.4 peratus, namun angka tersebut telah berkembang melibatkan dasar pengagihan saham-saham terbitan.

"Jika berlaku ketirisan atau tiada tanggungjawab, perkara ini tidak akan berjaya. Namun dengan adanya PNB sebagai agensi pemegang amanah, ekuiti bumiputera dapat dipertahankan.

"Sesuatu kejayaan itu sukar untuk dicapai, namun lebih sukar untuk dipertahankan. Namun begitu, setelah 38 tahun, PNB berjaya mempertahankan kejayaan cukup mengagumkan. Kerajaan akan memberi sokongan kuat kepada PNB," katanya.