Abdul Wahid Omar

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, komitmen itu amat penting kepada PNB kerana 68.5 peratus daripada jumlah dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang dilanggan lebih sembilan juta pemegang unit itu dilaburkan dalam saham-saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia manakala 2.6 peratus dalam sekuriti hutang dan 28.9 peratus dalam tunai.

Katanya, pelaburan-pelaburan saham utama itu termasuklah Sime Darby Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank, yang memiliki Maybank Islamic iaitu institusi perbankan Islam terbesar di Malaysia dan antara terbesar di dunia), UMW Holdings Berhad (UMW), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad (TM), Axiata Berhad (Axiata), Maxis Berhad (Maxis), DiGi.com Bhd. (DiGi) dan Petronas Chemicals Group Bhd. (Petronas Chemicals).

Bagaimanapun, jelas beliau, ketidaktentuan ekonomi dunia, pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang sederhana dan penurunan harga minyak mentah telah menjejaskan pasaran saham yang menyaksikan ia mencatat pulangan negatif sejak tiga tahun ke­belakangan ini sekali gus memberi kesan kepada dividen ASB.

“Untuk tahun ini, indeks FBM KLCI mencatat penurunan 4.7 peratus. Setelah mengambil kira pendapatan daripada dividen, ia masih memberikan pulangan negatif 1.7 peratus dan dalam masa sama kadar faedah semasa juga adalah rendah dengan KLIBOR pada tahap 3.3 peratus setahun.

“Dengan keadaan sedemikian, sudah tentu pulangan pelaburan ASB menjadi lebih rendah berban­ding tahun-tahun sebelumnya. Malah pulangan 6.75 sen seunit bersama bonus 0.50 sen seunit boleh dikatakan amat kompetitif berban­ding penanda aras prestasi pasaran saham yang negatif,” katanya dalam perutusan kepada rakan-rakan Alumni Ansara di sini hari ini.

Khamis lalu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh PNB mengumumkan dividen ASB sebanyak 6.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 dan bonus 0.50 sen seunit melibatkan pengagihan berjumlah RM10.28 bilion.

Selain itu, ASNB turut mengumumkan dividen sebanyak 5.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) dengan pengagihan berjumlah 92.86 juta kepada lebih 1.2 juta peme­gang unit.

Namun, pengumuman itu menimbulkan perasaan kurang se­nang dalam kalangan pelabur yang mempersoalkan pulangan dividen yang rendah sejak tabung itu diperkenalkan pada 1990.

Secara dasarnya, PNB merupakan pe­ngurus dana unit saham ama­nah terbesar di Malaysia dengan dana yang diuruskan berjumlah RM260 bilion iaitu RM220 bilion dana unit saham amanah dan RM40 bilion dana PNB sendiri.

Daripada RM220 bilion tersebut, ASB merupakan skim unit saham amanah terbesar dengan jumlah unit sebanyak 144 bilion. Setakat 30 November 2016, ASB menjana pendapatan kasar sebanyak RM9.59 bilion.

PNB pada 24 November lalu, menggariskan Pelan Strategik 2017-2020 atau dikenali sebagai Program PNB STRIVE-15 yang mengandungi 15 inisiatif utama di bawah tiga tunjang iaitu meningkatkan pulangan mapan, pe­ng­u­rusan pelaburan yang efektif dan kecemerlangan operasi.

Sehubungan itu, Abdul Wahid berikrar untuk memanfaatkan pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang korporat dan pentadbiran termasuk pengalaman menerajui tiga syarikat besar iaitu Kumpulan UEM, TM dan Maybank bagi meningkatkan daya saing PNB pada masa akan datang.