Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu salah guna kuasa, kemerosotan tadbir urus dan perkara-perkara berkaitan berlaku terhadap PNB seperti mana terjadi pada institusi-institusi lain.

Menurut beliau, PNB mempunyai tanggungjawab yang amat berat kerana institusi itu mendokong harapan dan aspirasi pelabur yang mengharapkan nilai pelaburan tersebut dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Jangan terleka dan ambil mudah amanah dan tanggungjawab ini, jangan salah guna kuasa, kelonggaran tadbir urus dan kemerosotan integriti, penyelewengan, rasuah serta ketirisan seperti mana (dihadapi) institusi lain berlaku (pula) kepada PNB.

“Akhirnya, kerajaan terpaksa campur tangan tetapi (itu) bukan penyelesaian kerana imej yang tercalar tidak mudah diperbaiki, manakala keyakinan rakyat khususnya pelabur tidak mudah dikembalikan dan maruah bangsa tercalar selamanya,” katanya.

MUKHRIZ MAHATHIR menyerahkan replika kunci kereta Perodua Aruz kepada pengunjung bertuah
MUKHRIZ MAHATHIR menyerahkan replika kunci kereta Perodua Aruz kepada pengunjung bertuah, Nurmaizatul Sheerien Abdul Latif (dua dari kiri) selepas Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Dataran Amanjaya Mall di Kedah, hari ini. Turut sama, Mohamed Azmin Ali (dua dari kanan) dan Zeti Aziz (kiri). - UTUSAN ONLINE/Fariz Rusadio

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 menerusi rakaman video khas yang ditayangkan di pekarangan Amanjaya Mall, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Dr. Mahathir berkata, pencapaian yang dikecapi PNB selama ini adalah manifestasi keyakinan rakyat yang setia memberi kepercayaan kepada institusi itu dan amat mustahil untuk dicapai sekiranya PNB tidak menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti.

“Saya percaya nilai-nilai yang dipelopori tokoh-tokoh kepemimpinan PNB terdahulu masih diteruskan oleh kepemimpinan dan pengurusan sedia ada.

“Peranan yang didokong PNB bukan hanya terhad kepada kepentingan ekonomi sahaja tetapi meliputi juga kepentingan sosial dsn saya gembira PNB banyak menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak tinggi kepada masyarakat termasuk aktiviti berteraskan pendidikan, kebajikan dan lain-lain,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE