Perdana Menteri turut mendoakan semoga lebih ramai atlet seperti dua jaguh berkenaan menempa kejayaan pada masa hadapan.

“Tahniah dan terima kasih kepada dua jaguh negara, Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif yang berjaya memecah rekod dunia sekali lagi dalam acara masing-masing di Asian Para Games 2018.

“Semoga atlet para kita menemui lebih banyak kejayaan selepas ini. #KamiLuarBiasa #MalaysiaBoleh,” katanya dalam status di Twitter, hari ini.

Mohamad Ridzuan menampilkan aksi cemerlang dengan catatan 11.87 saat mengatasi catatan 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetsov dalam acara 100 meter T36 (cereberal palsy) untuk meraih pingat emas.

Abdul Latif pula mengekalkan penguasaan dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) selain berjaya melakukan lompatan sejauh 7.64 meter mengatasi catatan 7.60 meter yang dilakukannya di Sukan Paralimpik Rio, dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE