Beliau berkata, kejayaan seumpamanya oleh rakyat negara ini di peringkat dunia merupakan gambaran sebenar keunikan kepelbagaian dan semangat perpaduan yang sentiasa menjadi asas dalam pembinaan negara bangsa.

Kata beliau, pada masa sama, ia menjadi kunci kepada kejayaan transformasi masyarakat negara ini secara ekonomi dan politik.

“Kumpulan penari ini telah memberikan kebanggaan kepada negara dengan memperoleh pingat emas dan Anugerah Pilihan Pengerusi pada pertandingan itu.

“Adalah sesuatu yang menggembirakan apabila melihat anak muda dari Kota Belud, Sabah dapat mengibarkan bendera Malaysia tinggi di pentas antarabangsa mengalahkan lebih 12,000 peserta lain dari 40 negara,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2017, di sini hari ini.

Kumpulan penari itu yang bernaung di bawah Persatuan Tobilung Sabah Bersatu (Tobisa) mempersembahkan tarian di hadapan Perdana Menteri sempena forum berkenaan.

Pada 4 Julai lalu, Matinin Sungkin, 17, daripada kumpulan Tobisa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi, Kota Belud, memenangi pingat emas bagi acara Junior Solo.

Seorang penari lagi, Mohd. Farihin Abdullah, 11, pula memenangi pingat gangsa dalam pertandingan sama. - UTUSAN ONLINE