Perdana Menteri berkata, sekatan itu seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak ada kerja boleh berkempen selama 24 jam.

“Sekarang kita mengadakan pilihan raya kecil (PRK), kerajaan takkan tukar dengan PRK. Tetapi

Kita dapati ada arahan supaya pegawai kerajaan, menteri dan timbalan menteri tidak boleh kempen masa kerja.

“Jadi mereka masa kerja mesti ada dalam pejabat, tak boleh berkempen, sedangkan lepas kerja pun menteri-menteri kerja juga smpai pukul 10 malam kerja.

“Ini sekatan yg tak harus diamalkan oleh kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Ke-8 di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu melancarkan myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam dan Panduan Penetapan Tempoh Masa Dalam Carta Alir.

SPR sebelum ini mengingatkan anggota Kabinet dan anggota politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya tidak menjalankan aktiviti berkempen dalam waktu bekerja pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya dilpaorkan berkata, aktiviti berkempen dalam waktu bekerja merupakan satu penyalahgunaan masa bekerja.

Tambah Azhar, anggota Kabinet tidak seharusnya dan jangan sekali-kali menggunakan aset-aset ataupun fasiliti-fasiliti kerajaan bagi tujuan berkempen.

Perdana Menteri turut menarik perhatian bagaimana beliau sendiri tidak boleh menggunakan kereta, kapal terbang dan segala kemudahan kerajaan semasa berkempen.

“Semasa saya berkempen di Cameron Highlands, saya kena sewa helikopter swasta untuk ke tempat itu. Bawa kereta sendiri dari lapangan ke tempat berkempen,” katanya.

Beliau berkata, dalam pilihan raya berlaku banyak perkara tidak diingini umpamanya sengaja melewat-lewatkan pengisytiharan kekalahan kerajaan dan macam-macam lagi.

Sehubungan itu katanya, antara keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat JKKMAR adalah untuk mereformasi sistem pilihan raya.

“Mesyuarat telah mengambil maklum balas status usaha reformasi sistem pilihan raya di mana SPR kini sedang dalam proses membuat pembersihan data daftar pemilih melalui kerjasama startegik dengan Bank Negara Malaysia, institusi perbankan, syarikat telekomunikasi dan syarikat utiliti bagi tujuan semakan data, “ katanya.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat juga mencapai keputusan untuk membentuk mekanisme yang kukuh dan efektif dalam proses pengeluaran permit dan lesen di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mesyuarat juga katanya, memutuskan untuk meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam bagi memastikan pelaksanaan projek berdasarkan nasihat dan cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Teknikal seperti Jabatan Kerja Raya dan agensi teknikal berkaitan.

“Mesyuarat turut memutuskan kaedah tapisan keutuhan bagi pemilihan pengurusan tertinggi dalam entiti berkepentingan kerajaan bagi memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat,” katanya. - UTUSAN ONLINE