Najib Tun Razak tersentuh hati menerima nota yang ditulis oleh Goh Yok Huai mengenai projek 1Razak Mansion, Kuala Lumpur.

Ucapan terima kasih itu dinyatakan oleh bekas Pengerusi Rukun Tetangga Razak Mansion, Goh Yok Huai menerusi surat tulisan tangan yang dikongsi Perdana Menteri dalam akaun Twitter beliau malam tadi.

“Tersentuh hati mene­rima mesej yang ditulis Yok Huai. Projek seperti 1Razak Mansion inilah yang mendorong saya hari ke hari. Saya rasa bersemangat dan bertekad,” kata Perdana Menteri.

Antara kandungan nota itu, Yok Huai berkata, Tun Abdul Razak Hussein telah mencadang, merancang, membina dan merasmikan projek perumahan tersebut serta sudah ba­nyak memberikan bantuan, kemudahan, faedah dan pertolongan kepada semua penduduk.

Kata bekas Pengerusi Persatuan Penduduk Razak Mansion itu, sekarang ini anak Allahyarham, Datuk Seri Najib sekali lagi me­lakukan perkara sama untuk membantu penduduk di sini.

“Di sini saya bagi pihak semua penduduk 1Razak Mansion mahu balas budi dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan,” katanya.

1Razak Mansion yang mempunyai nilai sejarah tersendiri kepada Perdana Menteri itu telah diba­ngunkan semula pada Disember 2014 secara kerjasama awam-swasta dan siap sepenuhnya pada Di­sember 2016.

Seramai 658 penduduk asal perumahan itu menerima kunci daripada Perdana Menteri sendiri pada Rabu lalu dan mereka menikmati pelbagai insentif istimewa antaranya setiap unit rumah telah mempunyai hak milik strata di bawah nama pemilik masing-masing.