Pengerusi Jawatankuasa In­­duk Kongres Budaya 2017, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya akan meminta kerajaan menimbang dan melaksanakan resolusi kongres tersebut sebagai asas-asas pembentukan Budaya Kebangsaan supaya menjadi pembudayaan atau cara hidup rakyat negara ini khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Jika Kongres Kebudayaan peringkat nasional terakhir diadakan pada tahun 1971 iaitu hampir 46 tahun lalu dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, kali ini anak Allahyarham selaku Perdana Menteri pula akan meneruskan mandat ba­panya untuk melestarikan tamadun bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Prakongres Budaya 2017 yang bertajuk ‘Pembudayaan Tamadun Tinggi Dalam Transformasi Nasional (TN50)’ di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Rais berkata, resolusi Kongres Budaya itu juga akan dipersembahkan bagi memohon perkenan Duli-duli Yang Mulia Raja-raja dan Sultan-sultan di setiap negeri supaya turut mendukung cita-cita pembudayaan bangsa ini.

“Melaluinya baginda Raja-raja Melayu perlu menginsafi akan adat-adat Raja-raja Melayu dan adat budaya bangsa Melayu yang kedua-duanya dikhuatiri semakin larut dan banyak yang hilang,” katanya.

Menurutnya, Institusi Raja-raja yang menjadi tunggak dan payung negara perlu menyedari Perkara 160 Perlembagaan Negara mesti diberikan penegasan yang berterusan bagi memastikan budaya bangsa negara ini tidak tergugat.

“Kongres ini kelak menyaksikan bagaimana kesemua kaum yang lain terutamanya India dan Cina untuk berada dalam premis yang sama bagi menja­yakan Budaya Kebangsaan bagi pembentukan bangsa Malaysia yang progresif namun mempunyai pelbagai peradaban hidup yang tinggi.

Dalam prakongres tadi kata Rais, cerdik pandai India dan Cina bercakap dengan begitu baik untuk bekerjasama serta menyampaikan hasrat bangsa masing-masing bagi bersama-sama dalam pembentukan Budaya Kebangsaan ini.