Perdana Menteri menerusi laman Facebooknya turut berkongsi beberapa gambar beliau bersama keluarga Allahyarham Mohd. Thaqif.

Malah, beliau turut memuat naik status meminta rakyat untuk mendoakan keluarga Allahyarham terus diberikan ketabahan.

“Berkesempatan bertemu dengan Ghaddafi, ayah kepada arwah adik Mohd. Thaqif Amin pelajar tahfiz yang pulang ke rahmatullah 26 April lalu.

“Hanya Allah yang mengetahui perasaan yang beliau dan keluarga lalui, sama-sama kita doakan semoga mereka terus diberikan ketabahan dan roh adik Thaqif terus dicucuri rahmat Allah, Insya-Allah,” katanya dalam entri terbaharu di akaun Facebook hari ini.

Kisah Mohd. Thaqif Amin menjadi tular di media sosial selepas mendakwa disebat dengan paip getah sehingga lebam di kedua-dua belah kakinya oleh pembantu warden di asrama itu. - UTUSAN ONLINE