Perdana Menteri berkata, perusuh yang melakukan kekecohan di kuil bukan sekadar untuk melakukan demonstrasi tetapi mempunyai niat untuk membunuh orang tidak berdosa.

“Nampak jelas orang (mereka yang melakukan rusuhan) buat ini dengan niat hendak membunuh. Kita sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari dalang di sebalik kes ini,” katanya selepas melawat mangsa di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, rakyat Malaysia bebas untuk melakukan demonstrasi secara aman mengikut lunas undang-undang dan bukannya kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

Ketika mengulas mengenai tindakan pemaju mengupah samseng tempatan dalam kes tersebut, beliau menyifatkan itu adalah perbuatan yang tidak berfikir.

“Orang asing ini tidak faham budaya orang Malaysia, tidak boleh buat macam itu. Kalau kita dapat tahu siapa yang melakukannya, pihak Peguam Negara akan mengambil tindakan,” jelasnya.

Mengenai permohonan pihak pengurusan kuil yang meminta campur tangan kerajaan, Perdana Menteri memaklumkan, beliau akan membuat kenyataan berhubung perkara itu di Parlimen esok.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa setengah jam bagi melawat serta mengetahui perkembangan Muhammad Adib yang menerima rawatan di IJN. - UTUSAN ONLINE.