Pengerusi BN itu mengambil kesempatan untuk menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Adenan atau mesra dipanggil Tok Nan dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

“Saya mengambil kesempatan di sini untuk menghargai jasa Allahyarham Tok Nan yang ketika itu (menjadi Ketua Menteri) yang mana kita gelarkan beliau sebagai Apai besai Sarawak (Bapa besar Sarawak).

“Beliau dalam kempen Pi­lihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) selalu minta rakyat beri peluang pasukan Adenan atau ‘Adenan Way’.

“Allahyarham santai berkempen sambil menya­nyikan lagu ke­gemarannya, The Young Ones yang akhirnya membawa kemenangan besar BN dalam PRN-11 apabila me­menangi 72 daripada 82 kerusi dipertandingkan,” katanya.

Menurut Najib, beliau yang memantau keputusan PRN-11 di bilik hotelnya pada malam itu, mende­ngar BN menang besar termasuk menawan kawasan hitam apabila calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tidak disangka menang.

Beliau terharu mengenangkan usaha dan jasa Tok Nan.

Tambah Najib, beliau juga berasa terharu apabila mengenangkan Tok Nan termasuk petikan ucapannya terhadap beliau.

“Antara enam Perdana Menteri yang sudah memerintah kita, selain daripada Tunku Abdul Rahman sampai Najib, siapa yang selalu datang ke Sarawak?

“Siapa yang mempunyai pera­saan istimewa untuk Sarawak, tidak lain tidak bukan, orang saya (Najib) yang hidup hari ini. Ada orang itu, 22 tahun menjadi Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) tapi batang hidung pun tak nampak.

“Najib datang ada buah tangan nak diberi kepada kita Sarawak, beliau tidak datang tangan kosong,” ujarnya memetik ucapan Tok Nan.