Anugerah tersebut diberikan kepada enam wanita muda yang mempamerkan pencapaian membanggakan dalam bidang masing-masing dalam enam ka­tegori iaitu sukan, usahawan, kajian dan penyelidikan, agama, seni serta Anugerah Khas Puteri UMNO.

Ahli Puteri UMNO Bahagian Sepang, Emma Firyana Saroji menerima Anugerah Kategori Sukan; Anugerah Kategori Usahawan diterima oleh Pengarah Kreatif TasBijoux Sdn. Bhd., Nur Zalikha Mohd. Sabri manakala Anugerah Kategori Kajian dan Penyelidikan diraih oleh Dr. Aizan Sofia Amin.

Penerima-penerima anugerah lain ialah Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Hanimzah Jalaluddin (Kategori Agama) dan Pensyarah Teater Akademi Seni dan Wari­san Kebangsaan (Aswara), Sha­riffah Mariam Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sherry Alhadad (Kategori Seni).

Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Rompin, Wan Noraini Zainurian yang merupakan orang kurang upaya (OKU) diberikan Anugerah Khas Puteri UMNO bagi mengiktiraf kecemerlangannya dalam sukan badminton.

Pada majlis sama, Najib turut menyampaikan hadiah kepada Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus yang berjaya mencatatkan penambahan ahli tertinggi iaitu sebanyak 384 orang.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta Naib Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan.