Bantuan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di Masjid Baharu Temerloh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Penerima bantuan tersebut terdiri daripada 1,229 warga emas, 608 kanak-kanak, 508 pekerja cacat anggota dan 447 orang kurang upaya (OKU).

Najib yang menunaikan solat zuhur berjemaah dengan lebih 500 orang di masjid berkenaan turut menyampaikan bantuan elaun sara hidup berjumlah RM252,000 kepada 105 nelayan darat di daerah ini.

Perdana Menteri turut me­nyampaikan sumbangan RM14,700 kepada 49 mangsa ribut di Taman Murni, Lanchang di sini pada Jumaat lalu.

Bantuan berbentuk barangan turut disampaikan kepada 300 ahli Persatuan Pesara Kerajaan, Persatuan Pesara Polis dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

Selepas menyampaikan bantuan itu, Perdana Menteri yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa menghadiri Program Jom Bantu Rakyat Parlimen Temerloh, di Kampung Tengguh dan Kampung Padang Kerbau di sini.

Dalam pada itu, Hasmah Ibrahim, 74, dari Kampung Tengguh berkata, dia dan keluarga terharu dengan kesudian Perdana Menteri meluangkan masa ke rumah mereka meskipun sibuk dengan tugas mentadbir negara.

“Program Jom Bantu Rakyat ini membantu membaik pulih rumah saya yang rosak akibat banjir tiga tahun dulu.

“Saya juga tidak menyangka dapat bertemu Perdana Menteri dan isteri beliau secara bersemuka,” katanya.

Penerima bantuan sama di Kampung Padang Kerbau, A. Ghani A. Rahman, 79, juga gembira kerana Perdana Menteri sudi mengunjungi rumahnya.

Pada 2014, katanya, banjir teruk melanda daerah ini dan air memasuki rumahnya sehingga ke paras bumbung.

“Hasil bantuan menerusi program ini, rumah saya kini dilengkapi dengan sofa, tikar getah, kipas angin dan almari pakaian,” katanya.