Najib ketika berucap berkata, kerajaan sepatutnya menjadi pengupaya dan pemudahcara bagi mengetengahkan polisi-polisi yang menyokong pertumbuhan kondusif pasaran dalam menjamin sektor swasta dapat terus maju.

Katanya, AirAsia merupakan satu kisah kejayaan bagi Malaysia dan pihak kerajaan gembira menyaksikan syarikat penerbangan tambang murah itu terus berjaya.

“Perkembangan pesat penerbangan kos rendah ketika ini berbanding sedekad lalu telah melonjakkan industri pelancongan negara.

“Pelancongan sudah tentunya satu bahagian yang penting bagi ekonomi Malaysia. Ia merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan diiktiraf sebagai salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Majlis perasmian tersebut dihadiri Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Kakitangan AirAsia dan AirAsia X di Malaysia secara rasminya telah berpindah ke RedQ pada November 2016.

Direka dengan estetik perindustrian, pejabat tersebut berkeluasan 18,000 meter persegi dan boleh memuatkan lebih 2,000 kakitangan.

Kemudahan lain di RedQ termasuk pusat jagaan kanak-kanak, pusat fisioterapi, klinik, gimnasium beserta jurulatih peribadi, pod tidur, kafetaria, kedai kopi dan gelongsor setinggi tiga tingkat. - UTUSAN ONLINE

SOFIAN BAHAROM