Perdana Menteri berkata, perbuatan sedemikian menggambarkan semangat 1Malaysia Negaraku yang patut dicontohi kerana membelakangkan faktor agama dan kaum demi membantu golongan tidak bernasib baik.

“Islam mengajar penganutnya berkasih sayang, dan saya teringat kisah Rasulullah SAW yang memberi perlindungan kepada semua tanpa mengira agama tatkala mereka memerlukan bantuan seperti dalam surah At-Taubah, mafhumnya, ‘Dan jika seorang di antara orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia’,” katanya menerusi status di akaun Facebook hari ini.

Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini tiba di Pulau Pinang pada kira-kira pukul 10.40 pagi dan disambut oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi meninjau situasi banjir besar yang melanda negeri itu.

Semalam, satu gambar tular dengan beberapa mangsa banjir berketurunan Cina mendapatkan perlindungan di surau Taman Free School, Pulau Pinang selepas pentadbirnya mendapati mereka berada di dalam kesusahan.

Bilal surau berkenaan, Sapno Tukijo, 50, dilaporkan berkata, pentadbir surau menumpangkan mangsa-mangsa keturunan Cina terbabit dengan niat menyelamatkan nyawa mereka daripada banjir yang melanda negeri itu sejak beberapa hari lalu. - UTUSAN ONLINE