Menurut Wisma Putra, ini merupakan lawatan kedua beliau ke negara berkenaan selepas menjawat semula jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei tahun lalu.

Jelasnya, dalam lawatan tersebut, Dr. Mahathir akan diiringi isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya dan para pegawai kanan Kementerian Luar.

"Perdana Menteri dijadualkan akan menyampaikan ucapan di Frewin Court, Oxford esok dan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland pada hari sama.

"Antara isu yang akan dibincangkan adalah perdagangan dan pelaburan di antara negara-negara Komanwel, tadbir urus yang baik serta mencegah dan mengatasi ekstremisme," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra lagi, lawatan kerja ini bertujuan meneruskan kesinambungan hubungan baik yang telah terjalin di antara Malaysia dan UK.

Lawatan ini juga jelasnya, dijangka dapat mengukuhkan ikatan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Dr. Mahathir kini berada di Dakar, Senegal bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Kemunculan Afrika (ICEA)  Kali Ketiga. - UTUSAN ONLINE