Menurut Wisma Putra, ini merupakan penyertaan sulung Perdana Menteri di persidangan itu sejak ICEA dianjurkan pada 2015.

Jelasnya, Dr. Mahathir akan ditemani isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali. Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, pegawai-pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

"Perdana Menteri dijadual akan menyertai High Level Panel Discussion yang akan berlangsung selepas acara pembukaan ICEA. Sesi tersebut turut melibatkan penyertaan Presiden-Presiden Republik Burkina Faso, Ivory Cost, Kenya, Mali, Rwanda dan Segenal. Ia akan memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk berkongsi kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta di Malaysia.

"Selain itu, Perdana Menteri juga akan berkongsi idea dan hala tuju Malaysia dalam kerjasama ekonomi perdagangan antara Malaysia dengan negara-negara membangun di Afrika," jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Selain menghadiri ICEA, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Senegal bagi membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama ke arah mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Senegal serta mempertingkatkan kerjasama dalam isu-isu serantau dan global.

Malaysia dan Senegal telah menjalin hubungan diplomatik selama 33 tahun dan telah membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan.

Pada tahun lalu, nilai perdagangan antara kedua-dua negara sebanyak RM372.6 juta, dengan eksport berjumlah RM364.5 juta dan import RM8.1 juta.

Komponen eksport utama Malaysia ke Senegal adalah kelapa sawit dan produk-produk berasaskan sawit, produk pertanian dan makanan, manakala import pula adalah produk kapas, baja dan mineral, bahan dan produk kimia serta bahan-bahas berasaskan besi. - UTUSAN ONLINE