Katanya, jaminan itu adalah sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang dipraktikkan di negara ini.

“Sebagai Perdana Menteri, saya menyanjung prinsip-prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Salah satunya ialah Perkara 3 yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan.

“Perkara 3 ini, bukan sahaja memperuntukan kebebasan beragama, malah memberi jaminan ajaran itu bebas diamalkan secara aman dan harmoni," katanya berucap dalam program tinjauan di tapak Projek Gereja St. Ann, Kota Padawan di sini malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Uskup Agung Roman Katolik Kuching, Archbishop John Ha Tiong Hock.

Najib turut mengucapkan terima kasih kerana lawatan mesranya ke tapak gereja itu disambut meriah oleh kira-kira 3,000 hadirin yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Selain itu, katanya, beliau juga kagum dengan usaha umat Kristian di bawah pentadbiran gereja itu yang berusaha mengumpul dana untuk membina gereja baharu tersebut.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan berbincang dengan Abang Johari untuk memberi sumbangan bagi mencukupkan dana bagi menyiapkan sepenuhnya gereja tersebut yang masih kekurangan peruntukan sebanyak RM8.9 juta.

“Berapa jumlah disumbangkan tidak dapat dinyatakan lagi tetapi saya akan berbincang dengan Abang Johari untuk menentukan sumbangan daripada saya mewakili kerajaan Pusat dan beliau bagi pihak kerajaan negeri,” ujarnya.

Bangunan Gereja St. Ann yang baharu itu mula dibina sejak 2006 menggunakan dana yang dikumpul oleh umat Roman Katolik di bawah pentadbiran gereja itu termasuk 45 kampung dan taman perumahan berhampiran.

Keperluan membina gereja baharu membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM19.2 juta itu disebabkan gereja lama yang digunakan sudah tidak cukup untuk menampung 22,000 umatnya, di samping kekurangan kemudahan asas. - UTUSAN ONLINE