Najib Tun Razak

Perdana Menteri turut berharap orang ramai memanfaatkan cuti panjang hujung minggu ini dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

“Sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja yang telah menyumbang ke arah kejayaan Malaysia sepertimana yang kita kecapi kini.

“Saya harap semua dapat meluangkan masa berkualiti dengan ahli keluarga tersayang sempena cuti panjang hujung minggu ini. Selamat Hari Pekerja kepada semua!” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja melalui laman Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya memberitahu, kerajaan beriltizam untuk terus membela nasib golongan pekerja.

Menurut beliau, golongan berkenaan merupakan nadi penting kepada pembangunan dan kemajuan rakyat serta negara.

“Oleh itu, segala kemudahan dan infrastruktur pemeriksaan penjagaan kesihatan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan supaya dapat digunakan oleh para pekerja untuk memastikan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik seterusnya dapat meningkatkan produktiviti,” jelasnya.

Muhyiddin turut menyifatkan sumbangan golongan pekerja sebagai asas utama kepada pembangunan ekonomi negara di bawah Dasar Transformasi Nasional yang diperkenalkan kerajaan.

Beliau berkata, tanpa pekerja, segala perancangan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pasti tidak akan menjadi realiti.

“Saya yakin bahawa pekerja yang produktif merupakan salah satu tunjang kepada segala kejayaan GTP dan ETP sehingga kini, sepertimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri beberapa hari lalu,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri juga percaya golongan pekerja di negara ini sentiasa bersedia untuk mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk merebut pelbagai peluang pekerjaan yang diwujudkan dalam sektor-sektor Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA).

“Lengkapkanlah diri dengan ilmu pengetahuan terkini untuk sentiasa berdaya saing dalam bidang pekerjaan.

“Kerajaan sentiasa mahukan golongan pekerja yang berdaya saing dan bersedia membuat perubahan selaras dengan aspirasi untuk menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, mentaliti kelas pertama serta asas paling penting bagi pekerja iaitu penjagaan kesihatan fizikal dan mental pasti menjadi penentu utama produktiviti mereka dalam menghadapi tahun-tahun mendatang.