Pasukan tinjauan berkenaan yang diwakili lapan anggota terdiri daripada enam anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masing-masing seorang kakitangan Kementerian Pertahanan serta sukarelawan 1Malaysia for youth (iM4U) berlepas dengan menaiki pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pasukan yang diketuai oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar situasi selain mengenal pasti bentuk bantuan kemanusiaan yang mampu disediakan.

Pasukan itu juga membawa bersama mereka bantuan makanan sumbangan iM4U seberat 12 tan.

Yang turut hadir menyaksikan pelepasan itu ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md. Shahidul Islam.

Pada malam ini pula, empat lagi anggota tim tinjauan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya ke Dhaka yang diketuai ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal akan berlepas menaiki pesawat komersial. - UTUSAN ONLINE.