Menurut beliau, perkara pertama adalah Kerangka Maqasid Syariah yang semestinya dicorakkan dalam perkhidmatan awam sebagaimana jalur-jalur manhaj telah dicorakkan dalam pembentukan negara bangsa.


Katanya, perkara kedua adalah Tahun 2017 sebagai Tahun Penyampaian yang mana slogan penyampaian berkesan dan efisien tidak hanya menjadi iltizam pada tahun ini tetapi diperkasakan lagi.


“Ketiganya, satu lagi nilai yang sangat penting dalam kepemimpinan dan organisasi ialah prinsip wala’ dan kesetiaan, yakni memberi kepatuhan, sumpah setia, ketaatan dan baiah yang wajib kepada seseorang pemimpin yang sah dan institut kepemimpinan serta kemuncaknya anggota pentadbiran kerajaan,” katanya.


Perkara keempat, jelas Najib, adalah budaya kerja di luar kelaziman iaitu bekerja melepasi dan melangkaui tahap keupayaan lazim serta di luar kotak pemikiran biasa demi keberhasilan luar biasa.


Beliau memberitahu, perkara kelima adalah mengambil langkah proaktif ke arah Revolusi Perindustrian Keempat dan ekonomi digital menuju TN50.


“Akhir sekali, falsafah dan garis besar haluan yang keenam kepada perkhidmatan awam menuju TN50 adalah Merekayasa Malaysia untuk menjadi negara maju yang mencapai pengertian Al-Falah, yakni Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi, sebagaimana yang diseru dalam surah al-Baqarah ayat 201,” katanya.


Beliau yang berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini menyeru penjawat awam untuk membuat persediaan rapi dan merencana strategi berkesan untuk mencapai TN50. - UTUSAN ONLINE