Perdana Menteri berkata, kem-kem terbabit dikosongkan selepas PRU diadakan.

“Ini adalah satu kesalahan malah, kita juga dapati banyak tanah yang dilakukan secara urus niaga tukar tanah (land swap) supaya pembinaan kem berkenaan dipercepatkan.

“Malah ada kes yang mana selepas pilihan raya umum, kem ini dikosongkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-7 di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan mengenal pasti ada pihak menjual tanah tidak mengikuti cara yang ditetapkan semata-mata kerana berhajat untuk membina kem-kem tentera.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan menyerahkan laporan siasatan dalaman membabitkan land swap dua buah kem tentera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati ia merugikan kerajaan dan mengancam kepentingan strategik negara.

Laporan siasatan berkenaan diserahkan Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd. Nasaei Ismail itu membabitkan projek pembinaan Kem Paloh (Johor) dan Kem Hutan Melintang (Perak).

Siasatan mendapati wujud campur tangan politik keterlaluan, kecuaian urus tadbir dan beberapa kesilapan dalam pelaksanaan dua projek berkenaan malah, pembinaan juga tidak termasuk dalam rancangan Kementerian Pertahanan dan Rancangan Malaysia Ke-11 selain turut dilakukan atas faktor-faktor politik.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, JKKMAR mencadangkan supaya lagu Malaysia Bersih dinyanyikan dalam acara-acara tertentu dan program rasmi kerajaan.

“Kita akan nyanyikan lagu Negaraku disusuli dengan lagu Malaysia Bersih kerana kiya ingin semai di dalam hati semua anggota kerajaan akan pentingnya kita bebaskan negara daripada rasuah supaya kita tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrasi dan kembali menjadi negara demokrasi,” katanya. - UTUSAN ONLINE