Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan perlaksanaan hak perlembagaan di bawah bahagian 2(c) Senarai Negeri dan 8(j) Senarai Persekutuan merupakan hasil perbincangan penurunan kuasa antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersetuju memberi semula kuasa ini yang telah terhakis dari dahulu.

"Pelancaran PETROS malam ini merupakan testimoni kepada perkembangan proses dicapai dalam perbincangan berterusan kerajaan berkaitan penurunan kuasa," katanya berucap melancarkan PETROS di sebuah hotel, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Pengerusi PETROS, Tan Sri Hamid Bugo.

Pada majlis pelancaran itu, Abang Johari turut mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, Saau Kakok, iaitu seorang Bidayuh yang berpengalaman hampir 40 tahun dalam industri minyak dan gas dengan jawatan terakhir sebagai Naib Presiden bagi Asia dengan syarikat minyak bebas di Amerika Syarikat.

Visi PETROS adalah menjadi pemain utama dalam eksplorasi dan pengurusan sumber asli, manakala misinya bagi memacu pertumbuhan Sarawak dengan pembangunan dan menggunakan secara efisien sumber tenaga.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sokongan berterusan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) akan dapat melihat lebih banyak pertumbuhan agar aspirasi rakyat mencapai tahap pembangunan seperti negeri maju di Semenanjung melalui lebih banyak hasil daripada minyak dan gas serta sumber asli termasuk inisiatif ekonomi digital.

"Kerajaan negeri akan menjadi badan kawal selia bagi aspek huluan dan hiliran kepada industri minyak dan gas di Sarawak mulai Julai ini.

"Semua individu dan syarikat terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak perlu mempunyai lesen, permit, pajakan dan kebenaran mengikut Ordinan Perlombongan Minyak atau Ordinan Pengagihan Gas negeri," jelasnya.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang negeri tidak akan menjejaskan kepentingan atau pelaburan Petronas dan syarikat lain yang telah terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak cuma aktiviti perniagaan dan operasi mesti selari dengan peraturan serta undang-undang berkenaan. - UTUSAN ONLINE