Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, apa yang akan dibentangkan itu merupakan agenda kerajaan dalam membantu bumiputera yang benar-benar berkelayakan untuk berjaya melalui persaingan yang sihat.

Mengikut maklumat yang di­muat naik oleh Najib di dalam akaun Facebook beliau, sehingga 28 Februari lalu sebanyak 51 peratus daripada ruang peruncitan yang ditawarkan oleh MRT Corp. telah diberikan kepada sembilan syarikat bumiputera, melalui Carve Out and Compete Ruang Peruncitan di Ali­ran Transit Massa (MRT) Laluan 1.

Selain itu menerusi sektor pembinaan, jumlah komitmen Carve Out bernilai RM48.31 bilion daripada kos pembangunan kasar RM106.6 bilion yang ditawarkan oleh agensi kerajaan, swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC).

“Insya-Allah, esok saya akan membentangkan BETR 2.0, dan salah satu daripada inisiatif yang telah kerajaan perkenalkan, Carve Out and Compete, inisia­tif yang membantu bumiputera yang benar-benar berkelayakan untuk berjaya melalui persaingan yang sihat,” jelas Najib di dalam akaun Facebooknya hari ini.

BETR 2.0 yang akan dilancarkan itu memberi tumpuan ke atas lima teras utama dalam agenda pemerkasaan ekonomi bumipu­tera untuk tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

Lima teras tersebut adalah pendidikan dan modal insan, pekerjaan dan pendapatan, ekuiti korporat, keusahawanan serta aset bukan kewangan dan BETR 2.0 juga menekankan tiga objektif utama iaitu penciptaan kekayaan, penyertaan syarikat bumiputera dalam sektor bernilai tambah tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat bumiputera.

Sementara itu, Carve Out and Compete dikelolakan oleh Unit Pe­neraju Agenda Bumiputera (Teraju) di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang bertujuan untuk meningkatkan pe­nyertaan syarikat bumiputera dalam projek mega kerajaan dan GLC.

Inisiatif itu diterajui enam prinsip rancangan Transformasi Ekonomi Bumiputera iaitu mesra pasaran, berasaskan keperluan, berasaskan merit, ketelusan, da­ya saing, pro-pertumbuhan dan mapan sementara syarikat bumiputera yang berkelayakan harus bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan kontrak bagi projek berkenaan dan pemilihan akan dibuat berdasarkan merit.