Program itu bertujuan membimbing remaja untuk mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap matlamat hidup dan tanggungjawab kepada diri, tuhan, keluarga, bangsa dan negara.

Menurut Kementerian Wilayah Persekutuan, fasa pertama pelaksanaan program ini akan berlangsung selama enam hingga lapan bulan melibatkan enam modul utama.

Modul tersebut merangkumi kkuster kerohanian dan sahsiah, kebajikan dan kemasyarakatan, patriotisme dan perpaduan, kesihatan dan rekreasi, kemahiran dan daya kreativiti dan sukan.

“Modul-modul ini dijalankan secara santai melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara pemerhatian, perbincangan, kerja berpasukan dan ceramah,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bertemakan ‘Wilayah ceria inspirasiku’, program itu jelasnya, dilihat sebagai ejen perubahan kepada remaja dan memberi inspirasi winning attitude supaya mempunyai kebolehupayaan untuk bangkit daripada kegagalan dan mengecapi kemenangan atas usaha diri sendiri.

Jelas kementerian lagi, sebanyak 21 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan terlibat dalam program ini. - UTUSAN ONLINE