Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman yang bertujuan menggalakkan penggunaan Linkedua itu akan dibuat oleh Perdana Menteri dalam waktu terdekat ini selepas perkara berkenaan dibawa dalam mesyua­rat Kabinet terlebih dahulu.

“Bagi kenderaan perdaga­ngan di laluan Tambak Johor, kadar levi dikekalkan. Langkah ini bertujuan untuk menarik lebih ba­nyak kenderaan perdagangan un­tuk menggunakan Linkedua dan seterusnya menyuraikan ke­sesakan trafik di Tambak Johor.

“Usaha ini juga dijangka dapat mengurangkan sehingga 40 peratus kenderaan perdaga­ngan di Tambak Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ja­watankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Jawatankuasa berkenaan diwujudkan hasil daripada Sesi Pemukiman Pemimpin-pemim­pin Malaysia-Singapura Kelapan yang dihadiri Najib serta Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Singapura pada 16 Januari lalu.

Sebelum ini akhbar pernah melaporkan kadar levi kenderaan komersial atau berat di Linkedua akan diturunkan kepada RM50 berbanding kadar RM200 bagi menggalakkan penggunaan lalu­an itu serta mengurangkan kese­sakan di Tambak Johor.

Sementara itu, menurut Ahmad Zahid, antara ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat hari ini adalah cadangan untuk menaik taraf jawatankuasa ber­kenaan menjadi badan bertindak khas bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang mengenai kesesakan laluan Malaysia-Singapura.