Ketua Pengarahnya, Datuk Mohmed Asri Yusof berkata, PLKN bukan sahaja berjaya menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan kira-kira 800,000 alumninya, malah telah membantu ramai belia mendalami ilmu kemahiran dan mendapatkan pekerjaan hasil transformasinya pada 2015.

“Hasil daripada Makmal Transformasi PLKN selama lima minggu pada 2015, konsep baharu dalam pelaksanaan PLKN telah diperkenalkan yang melibatkan fasa Program Pembelajaran Bersepadu selama lapan minggu dan fasa Program Latihan Kemahiran di institut latihan kemahiran terpilih selama tiga hingga 36 bulan.

“Walaupun terdapat penambahan, fokus PLKN untuk melahirkan belia dengan semangat cinta negara yang tinggi tetap diteruskan melalui modul kenegaraan dan latihan disiplin yang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Zetro di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JLKN, Kolonel Norsham Md. Tap,” Pengerusi Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Mohamad Nazrin Faiz Che Abd. Aziz dan Duta BSKN, Cecilia Raj. - UTUSAN ONLINE