Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohmed Asri Yusoff berkata, kaedah pengambilan bagi tahun hadapan sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya dari segi jumlah pengambilan dan modul yang diterapkan sepanjang latihan.

“Sebelum ini kami membuka pengambilan pada bulan Mac, Julai dan September sahaja, namun pertambahan khas akan dilakukan untuk pengambilan tahun 2018 nanti.

“Pengambilan PLKN masih dilakukan secara sukarela de­ngan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan beberapa pencalonan bermula dari tingkatan lima daripada pihak sekolah serta tertakluk kepada beberapa kriteria yang kami gariskan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Perayaan Deepavali peringkat JLKN di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Se­tiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Dalam pada itu, JLKN turut menekankan kepentingan aspek kemahiran kepada para pelatih­nya dalam PLKN 2.0 bagi membentuk generasi remaja Malaysia yang dapat menyumbang kepada keperluan pasaran kerja.

PLKN 2.0 dilaksanakan de­ngan pelbagai konsep baharu yang menjalinkan aspek kemahiran dan kenegaraan bagi memenuhi keperluan industri negara, di samping memupuk semangat patriotisme dalam kalangan anak bangsa.

“Dengan peningkatan­ RM4.9 bilion dalam perun­tukan­ Bajet 2018 bagi Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) baru-baru ini, saya yakin aspek kemahiran dan teknikal adalah satu bidang yang harus dipelopori dengan jayanya oleh semua rakyat Malaysia, khusus­nya pa­ra pelatih PLKN,” katanya.

Pendaftaran kemasukan pe­latih Siri 15/2018 akan dibuka sepanjang tahun 2018 untuk semua remaja yang lahir pada tahun semasa (kelahiran tahun 2000) dan dua tahun sebelum­nya (kelahiran tahun 1998 dan 1999) untuk memohon secara sukarela dengan mengisi borang permohonan di portal JLKN www.khidmatnegara.gov.my.