Timbalan Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kementerian sentiasa terbuka menerima cadangan daripada mana-mana pihak mengenai pendekatan yang boleh dilaksanakan dalam usaha membangunkan modal insan termasuk bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.

Katanya, sejak dilaksanakan pada 2011 hingga tahun lalu, seramai 4,501 pelatih di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program tersebut.

"Sejajar revolusi industri 4.0 kita harus bergerak ke hadapan untuk menepati apa kehendak belia dan tidak boleh bergantung dengan kaedah lama.

"Mana-mana kursus yang baik kita akan teruskan dan bagi yang sebaliknya,kita gugurkan kerana kita sentiasa terbuka untuk perubahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Simposium Masyarakat Orang Asli Terengganu Ke Arah Transformasi Terengganu Baharu 2017 di Dewan Perdana Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Negara (Senator Orang Asli), Datuk Isa Abd. Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ajis Sitin.

Simposium sehari yang julung kali dianjurkan oleh UniSZA dan Jakoa itu melibatkan 201 peserta dari Terengganu dan Kelantan.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sijil kecemerlangan buat empat anak Orang Asli iaitu murid tabika Nursyakilawati Abdullah di samping murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Ahmad Hafizi Zalil dan Nazira Yu, serta Norhalinda Harun (pelatih PLKK).

Alexander memberitahu, antara latihan kemahiran yang mendapat sambutan dalam kalangan golongan sasar Orang Asli adalah dalam bidang minyak dan gas, kimpalan, servis motosikal di samping seni solekan serta pastri dan kulinari.

Katanya, seramai 2,040 pelatih terpilih mengikuti PLKK melalui pengambil secara berperingkat tahun ini dengan fasa pertama membabitkan 16 jenis kursus diikuti 35 kursus (fasa kedua). - UTUSAN ONLINE