KUALA LUMPUR 27 Mac – Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia dan Utusan Online anjuran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan Kementerian Pendidikan bukan sahaja dapat menyampaikan mesej perpaduan malah dapat mengetengahkan kreativiti pelajar.
Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Eng Wei Chun berkata, pertandingan itu merupakan usaha yang baik dan wajar dicontohi pihak lain kerana menyediakan platform kepada pelajar menyampaikan mesej perpaduan.
“Saya namakan projek saya di United Kingdom (UK) sebagai muhibah dan saya akan memastikan setiap projek mempunyai bendera Malaysia agar orang asing sendiri faham tentang muhibah serta mengenali negara kita.
“Hendak merosakkan nama negara kita senang sahaja tidak sampai seminit namun untuk membangun dan menaikkannya mengambil masa beberapa tahun. Justeru janganlah kita merosakkan nama negara kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis penyampaian hadiah pertandingan itu bagi bulan Januari di sini hari ini.
Tiga pemenang utama pertandingan itu bagi bulan Januari membawa pulang hadiah wang RM1,000 dan sijil penyertaan tajaan Orando Holdings manakala 10 hadiah saguhati menerima langganan e-paper Utusan Malaysia selama setahun.
Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia dan Utusan Online yang bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah.
Antara syarat yang ditetapkan ialah penggunaan bahasa Melayu serta perlu menyampaikan mesej perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini manakala empat video terbaik yang dimuat naik ke laman www.muhibah.my akan dipilih sebagai pemenang bulanan.
Wei Chun berkata, pertandingan itu sangat sesuai pada masa kini kerana konsepnya yang menggalakkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.