Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini, sumbangan PKS kepada KDNK sebanyak 37 peratus merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan dalam kedudukan ekonomi negara yang dijangka berkembang antara 5.2 hingga 5.7 peratus menjelang akhir tahun ini.

Malah, katanya, PKS masih merupakan kelompok perniagaan terbesar iaitu mewakili 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan di negara ini.

Menurutnya, transformasi PKS diperlukan kerana akan menjadi pe­neraju utama ekonomi negara dan tidak mahu terperangkap dalam situasi dan cara lama.

“Sehubungan itu, saya memu­tuskan untuk memberi peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM22 bilion un­tuk PKS di bawah Bajet 2018.

“Kita perlu melonjak dan mengubah PKS bagi mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan. Setakat ini, walaupun saya masih tidak berpuas hati dengan produktiviti PKS, namun, tetap berlaku pertumbuhan sumbangan dalam KDNK dan berharap PKS mengambil peluang ini dengan melakukan transformasi ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sembang santai PKS bersama Perdana Menteri dan pelancaran Pameran dan Persidangan PKS (Smidex) 2017 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi SMECorp, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Eksekutif SMECorp, Datuk Dr. Hafsah Hashim.

Smidex 2017 berlangsung selama tiga hari di MITEC bermula semalam.

Tambah Najib, PKS boleh menggunakan peruntukan yang diberikan kerajaan itu untuk perbelanjaan serta modal permulaan bagi eksport produk mereka ke luar negara.

Bercakap mengenai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), Perdana Menteri menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 PKS bersedia untuk mengeksport produk masing-masing ke luar negara melalui zon itu.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 1,972 perniagaan PKS telah mendaftar untuk memperoleh faedah berkenaan.

“Tahun depan, PKS Malaysia boleh mempromosikan barangan menerusi dalam talian China. Kita mahu PKS tempatan mengambil bahagian dan peluang berkenaan,” ujarnya.