Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian PH dalam tempoh berkenaan jatuh dalam tiga acuan iaitu telah berjaya, sedang dan tidak dapat dibuat.

“Ketiga-tiga acuan itu Keadilan akan bentangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan 3 Mei ini,” katanya dalam Majlis Dialog Menteri KPDNHEP Bersama Media di kementerian itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mengakui PKR tidak pernah menerima sokongan majoriti orang Melayu.

Beliau berkata, sokongan majoriti orang Melayu adalah kepada UMNO, diikuti Pas dan PKR.

“Undi Melayu dalam politik Malaysia didominasi oleh UMNO, kedua Pas dan kami sentiasa berkedudukan nombor tiga.

“ Hatta Keadilan duduk dengan Pas, undi Melayu pada Pas tak sama dengan Keadilan. Berkawan dengan Pas pun syafaat undi Melayu tidak dinikmati oleh Keadilan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya media mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kekalahan calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau, baru-baru ini disebabkan isu kos sara hidup.

Dalam PRK berkenaan calon Pakatan Harapan daripada PKR, Dr. S. Streram kalah kepada calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan majoriti 4,510 undi.

Saifuddin Nasution yang mengakui kenyataan Anwar itu berkata, selain isu berkenaan, PKR juga tidak boleh menjangka kekuatan calon lawan yang merupakan penyandang kerusi berkenaan.

“Kejayaan paling besar PKR ialah berpijak pada prinsip PKR sebagai parti pelbagai kaum di sebalik tekanan isu-isu Melayu yang merupakan bukan kelebihan kepada PKR, di sebalik tren undi Melayu kurang,” katanya.

Jelasnya, PKR pernah menerima sokongan sebanyak 63 peratus undi Melayu pada pilihan raya umum tahun 1999 tetapi masih gagal untuk membentuk kerajaan bersama pakatan parti lain termasuk Pas ketika itu. - UTUSAN ONLINE