Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, PKPS merupakan proses pemutihan cukai oleh LHDN untuk membantu mereka yang membuka akaun bank di luar negara dengan wang pendapatan dari Malaysia yang belum dilapor atau dikenakan cukai.

"Sekiranya pendapatan ini telah pun dilapor kepada LHDN atau dikenakan cukai dan kemudiannya disalurkan ke luar negara, maka segalanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

"Prosedur pembukaan akaun bank di luar negara adalah seragam di peringkat antarabangsa, di mana butiran lanjut tentang pendaftaran dan maklumat percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditandatangani oleh lebih 100 negara, jelas Guan Eng, LHDN telah mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September tahun lalu. 

Dalam erti kata lain, tambahnya, PKPS menawarkan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang mempunyai akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDN. 

"Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta dalam e-mel atau surat LHDN untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDN," katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng menjelaskan, LHDN telah diminta mengambil tindakan tegas terhadap aduan berhubung segelintir pegawainya yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan PKPS. 

Beliau berkata, aduan itu termasuk berhubung dakwaan mengatakan pegawai LHDN menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan. 

Kata beliau, tiada perubahan dalam sistem dan kuantum penalti cukai yang berkuatkuasa untuk pembayar cukai dalam Malaysia iaitu masih menggunakan struktur penalti yang sama. 

"Tindakan perubahan yang dibuat adalah menghentikan serbuan ke rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan bertopeng muka sebelum ini iaitu operasi Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Negara (NRRET).

"Satu e-mel atau surat baharu akan dihantar semula oleh LHDN untuk menggantikan surat edaran PKPS sebelum ini agar tidak timbul sebarang salah faham lagi," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya dilaporkan sebelum 31 Mac 2019 atau 15 peratus jika dilaporkan antara 1 April depan sehingga 30 Jun depan. - UTUSAN ONLINE