Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jumlah tersebut adalah 19.5 peratus daripada sasaran 3,600 tenaga kerja yang akan dilatih bagi tempoh 2017 hingga 2022 menerusi PLKI-ECRL.

Kata beliau, pelatih terbabit terdiri daripada lepasan universiti, institut kemahiran dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengisi kekosongan 200 pekerja profesional dan 500 pekerja berkemahiran.

“Program ini mendapat tajaan sebanyak RM23 juta daripada China Communications Construction Company Limited (CCCC) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

“Untuk makluman, pengambilan pelatih-pelatih sepanjang tahun ini akan dibuat sebanyak lima kali iaitu Februari, Mac, Jun, Ogos dan Oktober,” katanya dalam sidang akhbar sebelum menghadiri Majlis Ramah Mesra PLKI-ECRL di sini, hari.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Projek CCCC Sdn. Bhd., Fang Zhenru.

Majlis tersebut bertujuan meraikan 136 graduan yang berjaya menamatkan kursus PLKI-ECRL selama tiga bulan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Kuala Berang.

Idris dalam pada itu memberitahu, seramai 49 graduan kumpulan pertama PLKI-ECRL terdiri daripada 28 pemegang ijazah dan 21 pemegang diploma telah pun memulakan tugas di bawah majikan masing-masing iaitu MRL dan CCCC. - UTUSAN ONLINE