Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui program itu, harga setiap produk keperluan asas yang dijual mestilah lima hingga 20 peratus di bawah harga pasaran untuk memastikan kos sara hidup yang semakin meningkat dapat dikawal.

Beliau berkata, ini adalah ko­mitmen kerajaan selepas mende­ngar keluh-kesah rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang tanpa kawalan.

“Saya selalu sebut kita mesti merasai denyut nadi rakyat, apabila rakyat ada keluh-kesah sedikit- sebanyak tentang kos sara hidup, maka kerajaan mesti ambil peduli dan membentangkan penyelesaian positif yang boleh stabilkan harga.

“Saya harap melalui program seperti ini kita boleh mempe­ngaruhi harga pasaran supaya tidak terlalu mendadak naik kerana inilah hasrat kerajaan, tidak boleh biarkan pasaran terbuka tanpa ada kawalan,” katanya ketika merasmikan PJSR dan BizFair Sabah di Dataran Bandaran di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan pemimpin kerajaan negeri serta Pusat.

Perdana Menteri berkata, PJSR dilaksanakan kerana kerajaan ti­dak akan sesekali membiarkan pasaran terbuka tanpa kawalan memandangkan wujud segelintir peniaga yang sengaja menaikkan harga barang untuk mengaut untung berlebihan.

Beliau berkata, peniaga tidak bertanggungjawab ini meletakkan kesalahan di bahu kerajaan melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk mengaut keuntungan walaupun tiada kena- mengena kerana dasar itu telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

“Ini sebenarnya tidak benar kerana GST telah dilaksanakan dua tahun lalu dan hari ini, sepatutnya tiada kesan lagi, tambahan pula kita menerima pakai GST pada kadar enam peratus, antara yang te­rendah di dunia dan sifar GST untuk 578 barangan yang pa­ling banyak rakyat gunakan.

“Semua barangan asas dike­cualikan GST, jadi kenapa kerajaan dipersalahkan sedangkan hasil GST kita pulangkan kepada rakyat, contohnya dalam bentuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM6.8 bilion tahun ini,” katanya.

Menurut Najib, kerajaan akan sentiasa memastikan ekonomi negara stabil agar pertumbuhan meningkat dan memudahkan dasar-dasar membantu rakyat diwujudkan.

“Kalau kita nak tolong rakyat, ekonomi mesti berkembang, kalau mendatar, hasil akan menguncup, tahun lalu pertumbuhan negara sebanyak 5.4 peratus agak tinggi, maka kita boleh tolong.

“Kita buka kilang, hotel dan sebagainya untuk wujudkan pe­luang pekerjaan dan di Sabah kerajaan laksanakan projek raksasa Lebuh Raya Pan Borneo Sabah tanpa bayaran tol,” katanya.