Senjata berkenaan telah dilancarkan di Ankara, Turki, 5 Disember lalu dan dijangka akan mula berada di pasaran Malaysia menjelang Januari 2019.

Ujar Pengarah Urusan Dian Synergy, Bahtiyar Rahim, penggunaan senjata renjatan elektrik teknologi berkabel untuk melindungi diri daripada serangan peribadi sudah lapuk meskipun masih digunakan di kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Peranti ini direka untuk kesan jangka pendek sahaja bagi melumpuhkan seseorang. Bukannya bersifat boleh menyebabkan apa-apa kerosakan dalam jangka panjang.

“Tambahan pula, berita dunia menyatakan renjatan elektrik daripada senjata teknologi berkabel itu telah menyebabkan banyak kecederaan serius serta insiden kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Bahtiyar, pistol renjatan elektrik tanpa wayar itu dinamakan sebagai Wattozz Gun dan ia dibuat oleh pakar dari Turki dengan teknologi yang amat berbeza.

“Wattozz Gun diperbuat 100 peratus daripada bahan asli dan sesuai digunakan untuk mengatasi pelbagai risiko serta kesan sampingan negatif.

“Dian Synergy juga menyasarkan unit jualan mampu mencapai 5,000 hingga 10,000 unit setahun dengan tawaran harga yang lebih kompetitif daripada pesaing,” katanya.

Wattozz Gun dilengkapi dengan peluru kawalan jauh tanpa wayar, ciri dua tembakan berturut-turut, kamera definisi tinggi binaan dalaman dengan sistem anti-getaran, picu bersensitiviti, tinggi, sistem pencucuhan bebas serbuk api dan gas serta banyak lagi. – UTUSAN ONLINE