Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak mahu peneroka terbeban.

"Keputusan (sebelum ini dicadangkan) oleh Lembaga Pengarah Felda yang berpendapat bahawa pemotongan itu perlu dilakukan berikutan kedudukan kewangan Felda ketika itu yang amat kritikal.

“Namun sebagai kerajaan yang peduli peneroka, saya dan Timbalan Menteri (Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin) bertemu dengan Perdana Menteri sebanyak empat kali sebelum Kertas Putih Felda dibentangkan. Beliau tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan itu dalam keadaan ekonomi yang amat membebankan peneroka.

"Perdana Menteri mengarahkan supaya sejumlah wang disediakan untuk mengekalkan bayaran itu pada kadar sedia ada," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Palong 8, di sini hari ini.

Yang turut hadir Dr. Mohd. Radzi; Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Raja Alias, Karip Mohd. Salleh.

Pada 28 Mac lalu, Lembaga Pengarah Felda mencadangkan agensi itu mengurangkan bayaran tersebut daripada RM1,500 kepada RM1,000 sebulan ekoran keadaan kewangannya yang serius.

Dalam pada itu, menurut Mohamed Azmin, penjimatan yang dilakukan sejak hampir setahun lalu membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.23 bilion bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif pemulihan Felda.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang dalam lawatan kerja sehari di negeri ini menghadiri Program Rapat Perdana Peneroka Felda Wilayah Raja Alias di Masjid Nurul Iman di Palong 9 di sini yang turut dihadiri 2,000 peneroka. - UTUSAN ONLINE