Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahbaikan itu perlu bagi menangani isu orang tengah yang mengambil keuntungan berlebihan khususnya bahan makanan seperti ikan.

Menurutnya, undang-undang sedia ada sudah cukup lengkap tetapi ia tidak meliputi untuk membuat kawalan harga terhadap orang tengah sehingga mengakibatkan mereka mengambil kesempatan dan menganiaya pengguna.

Beliau berkata, tindakan orang tengah tidak bertanggungjawab dan hanya bertujuan mendapatkan keuntungan lebih sehingga membebankan pengguna.

“Saya telah arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk meminda akta ini atau fikirkan akta baharu bagi tangani isu tersebut untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet sebelum dibentang di Parlimen pada Oktober atau selewat-lewatnya November depan.

“Kalau ini berlaku, jangan kita berbeza pendapat, tidak kira parti politik apa pun, sebab soal makan soal kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penyerahan 126 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha 1438H kawasan Parlimen Bagan Datuk di Dewan Datuk Mohamed Jamrah di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE