Beliau berkata, penguasaan bahasa kebangsaan dalam kala­ngan semua pihak dan peringkat bukanlah semata-mata sebagai syarat kelayakan, tetapi berkait rapat dengan jati diri serta semangat patriotik setiap warganegara terhadap negara.

“Keputusan muktamad Kabinet menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus mata pelajaran Bahasa Melayu adalah sesuatu yang bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, keputusan tegas kerajaan menarik balik kelonggaran itu perlu dihormati dan semua kementerian dan agensi kerajaan seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada Kabinet sebelum mengambil sebarang keputusan yang menyentuh soal bahasa Melayu.

Menurut beliau, sepatutnya semua pihak lebih sensitif berkaitan isu bahasa Melayu kerana ia termaktub dalam Perkara 152 dan 161 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan bahasa Melayu dan sepatutnya mereka lebih faham dengan peruntukan Perkara 152 dan 161 yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, keputusan kerajaan itu mencerminkan bahawa kerajaan serius dalam memastikan kedaulatan bahasa Melayu terus dijunjung.

“Semua pihak terutama kementerian-kementerian perlu mengambil iktibar daripada perkara begini dan memastikan arahan kerajaan dipatuhi,” kata Ahmad Dusuki dalam satu kenya­taan di sini hari ini.