Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah tersebut perlu kerana PTPTN yang ditubuhkan di bawah Akta PTPTN 1997 (Akta 566) hanya memberi pinjaman pendidikan kepada penuntut yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Beliau berkata, aspek kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN juga perlu diberikan tumpuan terlebih dahulu bagi mengukuhkan sumber kewangan perbadanan tersebut sebelum pinjaman tersebut diperluaskan kepada penuntut luar negara.

“Bagi mengembangkan fungsi PTPTN, perkara itu perlu dipinda di Parlimen terlebih dahulu ke­rana mengikut Akta PTPTN 1997, wujudnya perbadanan tersebut hanya bagi membantu penuntut pengajian tinggi dalam negara.

“Kita lupa PTPTN menghadapi masalah kewangan dua tahun lalu. Sebelum laksanakan perkara itu, bayar dulu pinjaman, sebelum cadang diperluas kepada penuntut luar negara,” katanya mengulas saranan Ketua Pu­teri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 baru-baru ini supaya pinjaman PTPTN diperluaskan kepada penuntut Malaysia di luar negara bagi membantu meringankan kos kehidupan me­reka.

Idris ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani Sijil Kolaborasi antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan MMC Corporation Berhad di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini kelmarin.

Menurutnya, kutipan bayaran balik PTPTN semakin menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu dan menjangkakan jumlah lebih besar dapat direkodkan penghujung tahun ini berikutan kesedaran peminjam.

“Jumlah kutipan boleh diperbaiki lagi. Dua tahun lalu kutipan bayaran balik pinjaman adalah sebanyak RM2 bilion dan me­ningkat kepada RM3.4 bilion pada tahun lalu dan kita jangka tahun ini lebih RM4 bilion akan dapat dikutip semula. Ini bermakna rakyat sudah faham dan mula bayar balik pinjaman,” katanya.