Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, usaha itu selari komitmen kerajaan memperkemaskan prosedur operasi stan­dard (SOP) sedia ada khususnya dalam soal kuasa, peruntukan perundangan serta penguatkuasaan sekali gus meningkatkan perkhidmatan kementerian ke tahap lebih cekap.

Jelas beliau, antaranya, da­lam waktu terdekat, pihak­nya bersedia melakukan pe­mindahan kuasa pengeluaran Permit Import (IP) daripada Ja­batan Per­tanian kepada Jabatan Per­khidmatan Kuaran­tin Pe­meriksaan Malaysia (Maqis).

“Inisiatif ini sedikit seba­nyak berupaya memperketatkan lagi aktiviti penguatkuasaan khu­susnya dalam soal import.

“Maka apabila perpindahan dilakukan, kuasa akan dapat diselaraskan dengan baik, contohnya, Maqis akan mempunyai kuasa untuk menahan semua kontena yang diperiksa dan sekiranya sampel diambil gagal mereka boleh menolak barangan tersebut berban­ding sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Sal­lehhuddin memaklumkan, kecekapan itu dapat membendung daripada kontena membawa ha­sil pertanian import yang gagal ujian Tahap Maksimum Residu (MRL) tidak terlepas ke pasaran.

“Malah jumlah denda di­kenakan di bawah Akta Per­khidmatan Kuarantin dan Pe­me­riksaan yang dikawal oleh Maqis lebih tinggi berbanding Akta Makanan 1983,” ujarnya.

Dalam masa sama, kementerian juga akan mempergiatkan usaha supaya pengusaha pertanian tempatan mematuhi syarat keselamatan makanan melalui Amalan Pertanian Baik (MyGap).

“Aspek kos pengeluaran ju­ga diberi perhatian serius supaya hasil tempatan berdaya saing di pasaran kerana negara masih tidak mampu mengeluar­kan bekalan makanan yang mencukupi,” ujarnya.

Beliau menambah, pihak kementerian juga sudah meneliti dan mencadangkan tiga Rang Undang-undang (RUU) membabitkan RUU Baja, RUU Kualiti Benih Tanaman dan RUU Biosekuriti Tumbuhan.

“Proses ini akan dibawa ke Kabinet dan kemudian ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan dan sekali lagi ke Kabinet sebelum disyorkan dibentang dalam Parlimen.

“Kita berhasrat dan jika dicadangkan pindaan itu dapat dibentangkan dalam Parlimen sesi pertama tahun hadapan,” jelasnya.