Pengarah Bahagian Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan, Zainuren Mohd. Nor berkata, matlamat pelaksanaan PIMA ia­lah untuk menimbulkan minat belajar melalui pe­ngalaman hands-on be­kerja di industri.

“Malah,ia juga sebagai langkah mengatasi keciciran murid pada peringkat menengah atas setelah tamat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Program itu juga ditawarkan kepada mereka yang mendapat keputusan PT3 yang sederhana dan rendah.

“Ini kerana, apabila naik ke Tingkatan 4 dan 5, mereka diberi pilihan mengikuti PIMA dengan hanya perlu mengikuti kelas selama dua hari manakala tiga hari lagi latihan industri berbanding 10 subjek yang perlu diambil untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) se­perti pelajar lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar tentang pelaksa­naan PIMA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Penge­tua Sekolah, Ahmad Ismail serta Yang Di­pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan Da­tuk Azmin Mustam Ab­dul Karim.

SMK Bukit Rahman Putra merupakan sekolah perintis yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan PIMA bermula Mac lalu.

Seramai 25 pelajar terdiri daripada 17 lelaki dan lapan perem­puan dipilih mengikuti tujuh bidang yang ditawarkan seperti automotif, tekstil, spa, pemasangan hawa dingin, bakeri, jahitan serta dobi.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, program itu juga sebagai langkah mengelakkan gejala ponteng dalam kalangan pelajar sekolah.

“Ini terbukti apabila peratusan kehadiran mencatatkan 100 peratus di sekolah dan 98 peratus di industri itupun disebabkan sakit dan alasan munasabah yang lain.

“Tiada isu sengaja ponteng melibatkan pelajar kerana mereka begitu komited dan berasa seronok dengan apa yang mereka lakukan sekarang,” jelasnya.

Tambah Ahmad, PIMA juga sebagai alternatif kedua kepada pelajar yang tidak mendapat tempat di Kolej Vokasional (KV).

“Kita sedia maklum bahawa pemilihan dan penempatan pelajar di KV adalah sangat terhad. Justeru, mereka yang mempunyai minat dan kemahiran juga boleh memilih program berkenaan di sekolah harian biasa.

“Malah, mereka juga akan mendapat tiga sijil iaitu SPM, Sijil Kemahiran Industri dan Mata Pelajaran Kemahiran (MPAK) setelah mengikuti program itu selama dua tahun,” ujarnya.