Operasi merobohkan sekatan secara serentak yang dibina untuk menghalang pembalak daripada mengeluarkan hasil hutan di Kampung Depak, Pos Tohoi; Kampung Cawas, Pos Bihai dan Kampung Kuala Wook, Pos Pasik itu berjalan dengan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Kerja-kerja tersebut bermula pada pukul 10 pagi melibatkan lebih 400 anggota pelbagai agensi seperti anggota Jabatan Perhutanan, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, seramai 234 anggota polis dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berkawal di tiga kawasan operasi berkenaan sepanjang kerja-kerja merobohkan sekatan itu dilakukan.

“Kehadiran polis pada operasi ini adalah untuk menjamin keselamatan ke­dua-dua pihak. Tugas kita adalah menjaga ke­se­­lamatan orang awam sepanjang operasi ini.

“Alhamdulillah, tujuan serta objektif operasi ini untuk membuka sekatan tercapai tanpa sebarang tentangan daripada Orang Asli. Malah, pihak berkuasa tidak merobohkan langsung pondok-pondok yang dibina di kawasan sekatan,” katanya.

Kemelut pembalak dengan masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut bermula kira-kira dua tahun lalu apabila mereka membina dua sekatan bagi menghalang balak daripada dikeluarkan di Simpang Petei, Pos Tohoi dan Kampung Peralong, Pos Bihai. Bagaimanapun sekatan itu diruntuhkan pada 29 November 2016 oleh pihak berkuasa serta menahan 54 orang penduduk.

Jabatan Perhutanan sekali lagi merobohkan satu sekatan di Simpang Petei, Pos Tohoi serta menahan lima penduduk pada 23 Januari 2017.

Pe­nduduk terbabit kem­bali membina sekatan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik pada 17 Februari lalu selepas tuntutan mereka agar kerajaan negeri mewartakan tanah adat mereka tidak didengari.

Baru-baru ini seramai 220 penduduk suku Temiar dari jajahan ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya untuk menuntut pewartaan tanah adat.

Sementara itu, Mohd. Taufik berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan pula oleh Jabatan Perhutanan di kawasan tersebut bagi mengelakkan sekatan dibina semula.

“Pihak polis berterima kasih kepada penduduk Orang Asli yang memberikan kerjasama sepanjang operasi tersebut berjalan dan kita tidak melakukan sebarang tangkapan,” katanya.