MD. FAKARUDIN

Yang Dipertuanya, Md. Fakarudin Abd. Rahman berkata, beliau akan berbincang dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG sekolah itu sekiranya pertemuan berkenaan wajar diadakan untuk mendamaikan kedua-dua pihak.

Katanya, beliau turut berharap agar semua pihak dapat berlapang dada dan tidak memanjangkan isu tersebut sehingga menimbulkan lebih banyak kesulitan.

“Mengenai pertemuan antara Cikgu Azizan dan keluarga itu, kita sedang bincang dengan AJK, tetapi tidak pasti lagi. Kita kena tengok keadaan. Kita tidak mahu keruhkan keadaan, harapan kita adalah isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik,” katanya di sini hari ini.

Mahkamah Majistret Seremban di sini semalam melepaskan tanpa membebaskan Cikgu Azizan atau nama sebenarnya, Azizan Manap, 44, daripada pertuduhan mencederakan seorang murid lelaki semasa perhimpunan sekolah pada 6 April lalu.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Taman Semarak itu didakwa bertindak menampar murid berusia 11 tahun itu kerana kesalahan menghidu gam.

Keluarga murid itu bagaima­napun melahirkan rasa terkilan dengan keputusan mahkamah dan mendakwa mempunyai bukti berhubung kecederaan anak mereka termasuk gambar dan laporan perubatan yang mendorong mereka membuat laporan polis terhadap guru berkenaan.

Sementara itu, bapa murid terbabit tidak muncul di SK Taman Semarak di sini untuk membuat penjelasan berhubung insiden itu hari ini seperti yang dijanjikan kepada pihak media.

Ini menyebabkan sekumpulan wartawan dan jurugambar yang mula berkumpul sejak pukul 8.30 pagi lagi terpaksa menunggu hampir enam jam di hadapan bangunan sekolah tersebut.

Lelaki berusia 50 tahun itu semalam berjanji mengadakan sidang akhbar bagi memberi penjelasan dan menjawab isu berkaitan kes anaknya ditampar Cikgu Azizan pada pukul 10 pagi.

Ketika dihubungi wartawan kira-kira pukul 12 tengah hari, dia mendakwa berada di Ibu pejabat Polis Daerah Nilai bagi satu urusan dan berjanji bertemu wartawan selepas menyelesaikan urusan tersebut.

Bagaimanapun kelibat lelaki tersebut tidak kelihatan dan beberapa panggilan telefon yang dibuat wartawan juga tidak dijawab.