Produk Madu Kelulut di Kelulut Farm di dewan A, Tapak Ekspo Pertanian Serdang sempena MAHA 2016 di Serdang.

Timbalan Pengarah MARDI, Dr. Ahmad Safuan Bujang, langkah itu penting bagi mengesan produk tiruan di pasaran sekali gus meningkatkan penghasilannya sehingga 240 kilogram dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Meskipun terdapat Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985, maklumat mengenai khasiat madu kelulut sangat kurang kerana akta tersebut lebih menjurus kepada madu lebah biasa.

“Justeru, hasil kajian yang dijalankan akan digunakan untuk menetapkan piawaian madu kelulut negara sekali gus boleh mengatasi kepincangan yang terdapat dalam industri ketika ini,” katanya.

Tambahnya lagi, piawaian yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat itu turut mendapat bantuan kepakaran dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Genome Malaysia, Jabatan Standard Malaysia, SIRIM Bhd. (SIRIM), Jabatan Pertanian Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

Menerusinya standard berkenaan, kandungan madu kelulut seperti jumlah air akan ditetapkan pada kadar tertentu bagi menghasilkan produk yang bermutu tinggi.

Timbalan Pengarah Program Perekaan Makanan, Pusat Penyelidikan Sains Teknologi Makanan MARDI, Dr. Suri Roowi berkata, madu kelulut kini mendapat permintaan yang sangat tinggi.

“Ini kerana madu yang dihasilkan serangga tidak bersengat itu dikenal pasti mempunyai nilai kesihatan yang tinggi.

“Selain kaya dengan nutrien dan asid fenolik, sifat anti oksidan yang tinggi dimiliki madu kelulut terbukti berupaya melawan sel kanser,” katanya.

Malah, kajian oleh MARDI menunjukkan madu kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik yang berguna untuk kesihatan tubuh manusia.

“Sebagai contoh, asid p-coumaric mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan dipercayai mampu mengurangkan risiko kanser perut dengan me­ngurangkan pembentukan bahan nitrosamine.

“Asid fenilpropionik iaitu sejenis bahan utama madu kelulut juga dikatakan mampu mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2) yang menyebabkan pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar,” katanya.

Tambahnya, bahan-bahan tersebut juga berkesan dalam menurunkan tahap kolestrol dalam plasma darah, hati serta berupaya mengurangkan trigliserida dalam darah.

“Selain Asia Tenggara, madu kelulut turut menjadi diet harian penduduk Australia dan Afrika. Lazimnya, ia dimakan secara terus atau dicampur bersama air dan dijadikan minuman harian.

“Madu kelulut dianggap makanan hebat atau superfood selepas kajian saintifik membuktikkan ia mempunyai pelbagai khasiat seperti menurunkan kadar kolestrol dalam darah dan boleh mengurangkan risiko kanser,” katanya.